fb fb fb fb fb

KUIPs dan Universiti Fatoni, terus perkukuh kerjasama

PATTANI, 4 Oktober- Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin Hussin dan Rektornya, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle bersama 20 delegasi terdiri dari Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Eksekutifnya mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Fatoni, Thailand.

Menurut Rektor KUIPs, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi, kunjungan tersebut bagi mengeratkan hubungan antara kedua universiti terutama dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran kakitangan dan pertukaran pelajar yang telah dijalinkan sejak tahun 2022.

Kedua-dua universiti berkenaan yakin bahawa misi dan visi permeteraian itu dapat direalisasikan, dengan memanfaatkan pelbagai kemudahan dan kepakaran masing-masing.

Usaha sama itu juga disasar dapat memacu hala tuju pembangunan pendidikan di KUIPs, untuk terus mencapai tahap kecemerlangan sebagai sebuah institusi pendidikan yang berteraskan Islam yang berwibawa dan dihormati.

Pemeteraian itu diharap dapat menjadi contoh kepada institusi pendidikan berteraskan agama di negara, seiring titah Canselor KUIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

KUIPs menawarkan dua program pengajian peringkat asasi, lapan program peringkat diploma dan 14 program pengajian sarjana muda serta menawarkan 120 biasiswa kepada pelajar selatan Thailand.

Terdahulu, kunjungan delegasi itu disambut oleh Timbalan Rektor Universiti Fatoni, Profesor Muhamad Zaki Jeha, Timbalan-timbalan Rektor dan Ahli Pentadbir Universiti Fatoni.


(Delegasi KUIPs bersama wakil Universiti Fatoni)

Media Baharu