fb fb fb fb fb

TM dan U Mobile meterai MoU, percepat pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Telekom Malaysia Berhad (TM) dan U Mobile menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan capaian rangkaian 5G kedua negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, menyambut baik kerjasama strategik itu dan menyatakan ia merupakan langkah penting dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur digital negara.

"Saya amat gembira menyaksikan pemeteraian MoU ini. Usaha ini penting untuk memastikan penyediaan backhaul dapat dilaksanakan dengan baik dan pembangunan rangkaian 5G kedua disegerakan. U Mobile telah memberikan komitmen untuk mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk menjelang Julai 2026,” katanya kepada pemberita menghadiri majlis menandatangani MoU antara kedua-dua syarikat.

Beliau turut menggesa supaya U Mobile mengadakan perbincangan lanjut bersama Digital Nasional Berhad (DNB), penyedia rangkaian 5G pertama, bagi meneroka kerjasama dalam aspek perkongsian rangkaian (network sharing) demi manfaat rakyat dan pengguna.

"Buat masa ini, hanya dua penyedia utama terlibat secara langsung dalam penyediaan rangkaian 5G, iaitu DNB dan U Mobile. Walaupun Telekom Malaysia mempunyai keupayaan menyediakan perkhidmatan kepada pihak lain, peranan sebagai penyedia 5G kekal pada dua entiti ini," jelasnya lagi.

Sebelum itu, U Mobile mengumumkan pelantikan Telekom Malaysia sebagai rakan strategik utama untuk penyediaan gentian backhaul dalam pelaksanaan rangkaian 5G. Kerjasama selama 10 tahun bernilai RM2.4 bilion itu akan melibatkan penyediaan akses ke Rangkaian Akses Radio 5G (5G RAN), pusat data dan kemudahan TM Edge.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, kerjasama tersebut dijangka membolehkan U Mobile mencapai liputan rangkaian 5G hingga 80% di kawasan berpenduduk dalam tempoh setahun.

TETITIA YUSOFF