KUALA LUMPUR, 26 Mei- Pemimpin ASEAN bersetuju memeterai Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045 : Masa Depan Bersama sekali gus mencipta satu lagi detik bersejarah dilakar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara.
Perkara itu membuktikan komitmen berterusan negara anggota blok tersebut kepada piagam ASEAN dan instrumen berkaitan, menjengah 58 tahun usia penubuhannya tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dokumen tersebut memetakan pelan hala tuju untuk ASEAN ke arah lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan komuniti, menjadi enjin pertumbuhan utama rantau Indo-Pasifik menjelang 2045.
"Masa depan yang kita impikan perlu berteraskan kelestarian dan keterangkuman. Integrasi ASEAN harus benar-benar berpusatkan rakyat.
"Ini bermakna kita perlu merapatkan jurang pembangunan antara negara-negara anggota, meningkatkan taraf hidup rakyat, serta melabur dalam semangat dan potensi insan yang dimiliki oleh setiap warga ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam ucaptama Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045 : Masa Depan Bersama di ibu negara.
Selesai ditandatangani, dokumen deklarasi kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn sebagai simbol komitmen bersama negara anggota terhadap masa depan serantau.
Deklarasi tersebut, menggantikan visi terdahulu, ASEAN 2025, Maju Bersama Ke Hadapan yang dimeterai semasa kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2015.