fb fb fb fb fb

Ong Wai Leong kembali terajui Mahkamah Perusahaan

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Mahkamah Perusahaan bagi penggal kelima di ibu negara

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Ong Wai Leong dilantik semula sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) bagi penggal kelima berkuat kuasa 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2029.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, pelantikan semula itu merupakan pengiktirafan kepada komitmen, profesionalisme dan integriti tinggi beliau dalam menjalankan tugas sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia sejak tahun 2016.

Sepanjang perkhidmatan Ong Wai Leong di Mahkamah Perusahaan Malaysia, beliau telah mengendalikan sebanyak 1,164 kes dan berjaya menyelesaikan 1,060 kes berkaitan pemecatan pekerja, penstrukturan semula, pemberhentian kerja serta rundingan perjanjian kolektif, melebihi sasaran KPI yang ditetapkan.

"Ini merupakan pencapaian yang cukup baik kerana dia telah melepasi prestasi penyelesaian purata oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia sebanyak lebih kurang 87 peratus daripada kes yang telah didengar oleh mahkamah dan beberapa anugerah atau penghakiman yang telah dikeluarkan.

"Beliau juga telah dipetik oleh mahkamah-mahkamah yang lebih tinggi atas faktor itu beliau telah diberikan tempoh lanjutan untuk pelantikan selama empat tahun", katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Mahkamah Perusahaan bagi penggal kelima di ibu negara.

Turut hadir Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan Malaysia, Datuk Wan Jeffry Kassim dan Pendaftar Mahkamah Perusahaan Malaysia, Bashah Bachik.

Jelas Steven Sim lagi, pelantikan ini akan terus menyumbang kepada peningkatan kecekapan MPM dalam mencapai KPI yang ditetapkan bawah Kerangka Strategik Malaysia MADANI, terutama dalam aspek mempercepatkan proses pengadilan dan mengurangkan kes-kes tertunggak.

"Apabila seseorang pengerusi itu mempunyai satu tempoh yang lebih lama maka proses perundangan yang dijalankan tidak terganggu termasuk kes yang didengar oleh pengerusi juga tidak terganggu.

" Apabila kes itu terganggu atau tergantung maka ia akan menangguhkan proses keadilan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian sama ada untuk pekerja atau pihak majikan dan saya melihat tempoh pelanjutan ini membantu melancarkan lagi proses pengadilan yang dijalankan," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF