KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya berlaku ketegangan antara TLDM dan Tentera Laut Filipina.
Menerusi kenyataan hari ini, TLDM menegaskan tiada insiden seperti yang digambarkan menerusi video berdurasi 12 minit 51 saat yang dimuat naik di Youtube.
Video tersebut jelas bertujuan mencemarkan hubungan diplomatik pertahanan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
"Penyebaran maklumat palsu berpotensi mencetuskan kontroversi, merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan pasukan itu dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Ia juga boleh menggugat keamanan dan kestabilan rantau ini serta menyumbang kepada agenda politik atau strategik tertentu," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan demi menjamin keamanan sejagat.