fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kerjasama pasaran filem, animasi di ASEAN

Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Malaysia memperkukuh kerjasama pasaran filem dan animasi tempatan dengan negara jiran menerusi usaha memperluas penyebaran harta intelek (IP) industri kreatif ke pasaran serantau.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini menjalin jaringan strategik bagi memudahkan kemasukan IP tempatan ke negara ASEAN yang berpotensi besar termasuk Indonesia, Vietnam dan Kemboja.

“Kalau kita lihat sebelum ini, animasi Upin & Ipin mendapat sambutan amat baik di Indonesia. Beberapa filem tempatan juga mudah menembusi pasaran Vietnam dan Kemboja.

Usaha ini akan terus dipergiat bagi membuka peluang lebih luas kepada penggiat industri kreatif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Riuh Hangout 2025 anjuran MyCreative Venture, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Menurut Datuk Fahmi, Finas dan MyCreative Ventures telah diarah menyediakan dana.

Malah turut diminta memudah cara proses kolaborasi antara penggiat animasi dan pihak perbankan korporat yang semakin memahami potensi pendapatan industri kreatif.

“Kita mahu wujudkan sinergi antara sektor perbankan korporat dan industri kreatif bagi urusan pendanaan. Hubungan ini akan dirapatkan, manakala urusan pelesenan dan pameran akan turut diuruskan oleh Finas,” katanya.

Beliau berkata langkah itu selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan pengukuhan ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara, termasuk meneroka pasaran eksport dan meningkatkan daya saing produk tempatan di peringkat global.

Perkembangan terkini inisiatif berkenaan dijangka dibentangkan ketika sesi penggulungan di Parlimen pada 20 Ogos ini.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN