KUALA LUMPUR, 14 Mei- Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 disifatkan sebagai satu titik permulaan menzahirkan kesepakatan, persetujuan dan kesetiaan demi pembentukan sebuah negara yang lebih baik.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim berkata krisis politik dan ekonomi yang berlaku dalam negara menuntut pemimpin duduk bersama, memikirkan manfaat demi rakyat dan negara.
"Kalau tidak ada keadaan seperti ini, kita mahu duduk bersama. Mungkin kita masih selesa untuk terus bermusuh dalam politik...orang politik lagi garang lagi hebat.
"Tetapi bila kita duduk bersama hari ini...yang paling banyak sekali dipupuk dalam diri kita adalah toleransi antara kita satu sama lain.
"Ia tidak boleh dinafikan hanya dengan keadaan, orang kata tidak boleh hanya dilakukan dengan kepura-puraan, ia harus datang dengan hati yang ikhlas," katanya.
(Adam Adli Abdul Halim)
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Jelasnya lagi pengundi muda tidak harus dilihat hanya sebagai sebuah angka pada pilihan raya.
Tanggungjawab bersama pimpinan sayap pemuda Perpaduan ketika ini adalah untuk membentuk sebuah negara yang akan memberikan peluang kepada belia, menterjemahkan potensi dan bakat mereka.