SIK, 29 Oktober - Lebih 300 penduduk Kampung Pokok Jerai di Jeneri, Sik, Kedah kini hidup dalam kebimbangan dan berdepan risiko hilang punca pendapatan selepas jambatan titi gantung di kampung berkenaan mengalami kerosakan teruk.
Kerosakan tersebut berpunca daripada banjir besar yang berlaku pada 25 Oktober lalu.
Menurut penduduk, titi gantung sepanjang kira-kira 90 meter ini dibina oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 1981 bagi memudahkan penduduk berulang alik ke kawasan pertanian mereka yang terletak di seberang sungai.
Bagaimanapun, tiang konkrit titi gantung berkenaan rosak teruk dan patah selepas dihempap pokok-pokok kayu yang tumbang berpunca daripada banjir besar yang berlaku pada November 2024.
Menyedari ia merupakan laluan utama dan paling dekat untuk berulang alik ke kawasan tanaman pertanian seperti getah, sawit dan dusun buah-buahan, penduduk mengambil inisiatif mengumpul dana dan memperbaiki sendiri titi gantung tersebut.
Bagaimanapun, banjir yang berlaku pada 25 Oktober lalu yang berpunca daripada limpahan air dari Empangan Gubir mengalir ke Sungai Muda menyebabkan sisa-sia pokok tersangkut di titi gantung sehingga menyebabkan ia semakin mengendur.
Walaupun terpaksa bertarung nyawa menggunakan titi gantung ini, namun penduduk tiada pilihan lain.
"Struktur tiang bawah itu rosak dan tidak boleh digunakan, sebab itulah kami dengan inisiatif penduduk-penduduk berusaha untuk membaik pulih titi gantung ini sehingga boleh digunakan untuk menyeberang sungai. Jadi penduduk terpaksa menggunakan laluan titi gantung kerana tiada pilihan lain, ada pilihan lain tapi terlampau jauh dan mengambil masa yang lama", ujar penduduk Mohd Nabri Lebai Ahmad.
"Titi ini tidak akan putus, besi ini akan putus, automatik akan putus. Jadi adakah pihak-pihak yang berwajib hendak tunggu kemalangan jiwa baru utamakan projek ini", ujar penduduk Ahmad Said.
Penduduk mendakwa, isu berkenaan pernah dibawa ke pengetahuan beberapa pihak berkaitan. Namun hingga kini tiada jawapan.
"Jadi saya amat berharap kepada pihak-pihak berwajib bantu kami orang kampung ini yang terpaksa hendak pergi ke seberang juga untuk mencari rezeki. Saya rasa kalau baik pulih ini kira-kira RM20,000 mencukupi.
"Itu sahaja yang saya harapkan", ujar Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penyelenggaraan Titi Gantung Kampung Pokok Jerai, Salim Awang Kechil.
Susulan itu, penduduk kampung terlibat mengambil inisiatif melancarkan kutipan dana pembaikan titi gantung Kampung Pokok Jerai.