KANOWIT, 29 Oktober - Dua lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori tangki membawa muatan minyak di Jalan Majau berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Majau, tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 12.32 tengah hari.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bergegas ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.
"Sejurus pasukan bomba mendapati dua lelaki dewasa tersepit di dalam kereta tersebut, manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami kecederaan," menurut kenyataan itu.
Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa yang tersepit meninggal dunia di lokasi kejadian masing-masing dikenali sebagai Musa Anak Minggat, 50 tahun dan Budin Anak Minggat, 69 tahun.
Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.