KOTA BHARU, 29 Oktober - Tindakan tegas pihak berkuasa merobohkan 216 jeti pengkalan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand mampu mengawal kemasukan lembu dan haiwan ternakan tanpa vaksin dari negara jiran yang berisiko membawa penyakit berjangkit seperti rabies.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata ia berikutan kegiatan penyeludupan haiwan ternakan tanpa vaksinasi lengkap dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman biosekuriti terhadap industri ternakan tempatan.
Tindakan merobohkan jeti haram terbabit serta memperkukuh kawalan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) membolehkan kemasukan ternakan, sayur-sayuran dan hasil pertanian dari luar dipantau dengan lebih teratur.
“Negara jiran kita sekarang ini telah mengisytiharkan ada rabies dan kita bincang bahawa ini boleh dibawa oleh binatang ternakan yang diseludup.
"Apabila binatang ternakan ini diseludup dan dibawa masuk ke negara ia boleh menjadi ancaman biosekuriti makanan kerana penyakit ini boleh tersebar dan boleh mengganggu serta memusnahkan ternakan kita yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 2024, di Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, banyak syarikat telah membelanjakan jumlah pelaburan besar dalam membangunkan 'feedlot' dan pusat pembiakan lembu pedaging serta lembu tenusu di negara ini.
Pihaknya ingin melindungi industri tersebut daripada ancaman penyakit yang berpunca daripada penyeludupan
Kerjasama antara KPKM, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi lain di bawah pendekatan 'whole-of-government' turut menunjukkan hasil positif dalam mengekang aktiviti penyeludupan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Isham berkata, kerajaan mempunyai stok penimbal beras mencukupi untuk menampung keperluan negara bagi menghadapi musim banjir sekiranya berlaku kecemasan.
KPKM mempunyai 200 juta tan metrik stok penimbal beras di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil ketika bencana.
"Untuk banjir di seluruh negara, kita ada stok penimbal beras. Jika berlaku keadaan sangat darurat, kita ada sumber bekalan beras yang boleh kita bekalkan untuk tempoh lebih kurang lima hingga tujuh bulan jadi kita ada stok penimbal tersebut," katanya lagi.
