fb fb fb fb fb

Penceramah agama di Pahang wajib ada tauliah

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah/FOTO Jabatan Agama Islam Pahang)

LIPIS, 14 April - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar penceramah di negeri Pahang perlu mempunyai tauliah.

Baginda mengingatkan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam yang diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid atau surau di seluruh negeri ini.

Titah baginda, bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka penceramah tauliah diperlukan.

Justeru, pihak pentadbir masjid dan surau diminta mengawasi mana-mana pihak yang mahu mengambil peluang sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

“Bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan.

“Biarlah mereka yang bertauliah dan mahir dapat menyebarkan ilmu agama di negeri ini. Pihak pentadbir masjid dan surau diminta terus mengawasi mana-mana pihak yang mahu mengambil peluang sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam,” titah Seri Paduka.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat dan merasmikan Masjid Baharu Benta yang diberi nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini malam tadi.

Turut berangkat,  Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri,  Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak serta barisan EXCO Negeri Pahang dan pemipin setempat.

Dalam pada itu baginda turut menyentuh tentang peranan masyarakat dalam mempertahankan kesucian, kemuliaan serta keharmonian institusi masjid.

Masyarakat perlu mengimarahkan masjid dengan kelas dan aktiviti keagamaan dan menyatukan umat Islam di kawasan masing-masing.

Baginda turut berharap agar masjid menjadi tempat untuk berkongsi ilmu demi kemajuan hidup dan ekonomi umat Islam sejagat.

 

Media Baharu