fb fb fb fb fb

Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital meningkat bulan ini

PUTRAJAYA, 14 April - Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital Kementerian Kesihatan (KKM) pada awal bulan ini menunjukkan trend peningkatan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun, beliau berkata trend itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital.

Tambahnya, kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital meningkat 17.6 peratus pada awal April berbanding Mac lepas.

"Majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta individu dengan komorbid.

“Walau bagaimanapun kebanyakan kes bergejala ringan, stabil dan situasi COVID-19 kekal tidak membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis berhubung situasi terkini COVID-19 di Malaysia.

Dr Zaliha berkata setakat awal tahun hingga Selasa lepas (11 April), kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan hanya 0.3 peratus berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu sebanyak 2.1 peratus.

Tambah beliau, sebanyak 63.8 peratus melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas manakala 90.7 peratus adalah dalam kalangan individu dengan komorbid.

“Kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata, meskipun dalam kesibukan membuat persediaan musim perayaan yang akan tiba, masyarakat digalakkan untuk memakai pelitup muka apabila hadir ke tempat awam yang sesak dan sempit yang mana penjarakan fizikal sukar diamalkan seperti di bazar Ramadan dan ketika sambutan hari raya.

“KKM terus memantau situasi COVID-19 serta varian terdapat di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optima bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus COVID-19,” katanya.

Media Baharu