fb fb fb fb fb

Tipu pelaburan kripto, ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang individu melibatkan pelaburan mata wang kripto berjumlah RM2.45 juta yang tidak wujud, tahun lalu.

Tertuduh, Johnathan Wong Futt Po, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Adrian Sim Kwang Kai untuk membuat pelaburan dalam dua syarikat.

Dia turut mendorong mangsa membuat bayaran ke akaun e-dompet mata wang kripto tertuduh.

Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Akmalzatul Mohd. Nawi menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Peguam mewakili tertuduh, Devanandan S. Subramaniam momohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung isteri dan lima anak.

Hakim kemudian membenarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 7 November ini bagi sebutan semula kes.


(Tertuduh, Johnathan Wong Futt Po (baju oren))

Media Baharu