(Tan Sri Annuar Musa berucap semasa mengadakan Sesi MenKOMM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan
di Kementerian Komunikasi dan Multimedia/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 6Julai- Kesemua kementerian perlu meningkatkan lagi komunikasi strategik bagi memastikan setiap keputusan strategik kerajaan sampai dengan jelas kepada rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap kementerian juga digesa memperhebat penyampaian maklumat supaya masyarakat faham bahawa setiap perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini adalah yang terbaik untuk rakyat.
"Alhamdulillah hari ini berasaskan kepada pandangan yang diberikan oleh Jemaah Menteri supaya kita mengadakan satu libat urus dengan semua kementerian untuk memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat dapat dibaiki dapat ditingkatkan lagi kerana kita tahu di luar sana rakyat mahukan lebih banyak maklumat sampai kepada mereka.
(Tan Sri Annuar Musa ditemu bual selapas Sesi Libat Urus Komunikasi Strategik
YB MenKOMM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di Putrajaya)
"Beberapa keputusan strategik kerajaan yang perlu dijelaskan dengan baik kepada rakyat terutama sekali dalam keadaan suasana yang berubah seperti suasana ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia yang akan membawa implikasi yang berbagai-bagai dan ini kita perlu tingkatkan kefahaman rakyat tentang apa yang sedang berlaku dan rasional kepada tindakan-tindakan yang akan kerajaan lakukan," kata Annuar dalam sidang media Sesi Libat Urus Komunikasi Strategik YB MenKOMM bersama Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.