KUALA LUMPUR, 6 Mac - Usaha mempromosi bakat Malaysia yang mampu beraksi di pentas dunia melalui pelbagai kerjasama perkongsian strategik akan ditingkatkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi catatan Facebooknya berkata pertemuan dengan pelumba cilik, Travis Teoh, di Parlimen baru-baru ini membuatkan beliau kagum dengan impian kanak-kanak 12 tahun itu dalam sukan permotoran.
Satu panggilan video dengan juara dunia dua kali Formula Satu (F1), Fernando Alonso dibuat, mengenai perkembangan kerjaya pelumba muda itu selepas Travis dipilih sendiri oleh Alonso untuk menyertai program pembangunan bakat muda bawah syarikat Pengurusan A14 milik pelumba F1 itu.
(FOTO FB Hannah Yeoh)
"Saya bertanya kepada Travis sama ada dia boleh memberitahu saya sesuatu tentang dirinya. Jawapannya meninggalkan kesan yang berkekalan - saya bekerja keras untuk segala-galanya...untuk merealisasikannya, saya terus akan bekerja lebih keras.
"Ini bukan jawapan biasa daripada budak lelaki berusia 12 tahun. Saya tahu dia serius tentang perlumbaan. Saya mahu pastikan tidak terlepas menyokong bakal juara dunia Malaysia," katanya.
Travis mula melibatkan diti dalam dunia sukan permotoran semasa berusia enam tahun bawah bimbingan Double R Motorsport (DRM) yang dimiliki oleh Mohd Rohairijaz Mohd Ropin.
Sebelum ini, Travis memenangi pelbagai gelaran kebangsaan dan antarabangsa termasuk DPK Racing serta muncul juara kelas OK pada Kohanan Dunia FIA-CIK 2022.