KEMAMAN, 6 Mac- Sebanyak 500 pokok Rhu ditanam oleh pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sepanjang Pantai Teluk Mak Nik pagi tadi bagi tujuan mencantikkan pantai, ia juga dapat menjaga persekitaran alam sekitar dan mengekalkan ekosistem bumi dalam jangka masa yang panjang.
Program Penanaman Pokok itu diadakan di sekitar Kemaman, kerana bandar tersebut dilabelkan sebagai bandar rendah karbon menjelang tahun 2035 sempena Pemasyhuran Majlis Perbandaran Kemaman ke 21.
Program tersebut merupakan program susulan yang dianjurkan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, sempena Program Penghijauan, Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat Negeri Terengganu 2022 yang dirasmikan pada 29 Oktober 2022 lalu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran (YDP) Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun berkata, "penduduk sekitar Kemaman sudah menunjukan rasa prihatin dan komitmen ke arah perlindungan alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok.
"Selain itu, ia juga dapat melindungi dan memelihara alam sekitar yang juga merupakan khazanah paling berharga dalam negara dan juga dunia," katanya pada program yang turut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab; Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dan ahli Majlis Perbandaran Kemaman bagi memeriahkan program tersebut.
Ahmad Nazwawi berkata, program tersebut akan diteruskan di Bandar Baru Kijal dan Pantai Penunjuk Kijal dalam tempoh terdekat.
(Ahmad Nazwawi Harun merasmikan Program Penanaman Pokok di Kemaman)