KUALA LUMPUR, 6 Mac- Filem kontroversi Mentega Terbang dilihat sebagai cubaan mempromosi budaya "TAK APA” dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya umat Islam.
Justeru Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem kontroversi itu secara jelas bukan sahaja mempunyai unsur-unsur tidak wajar untuk tatapan umum masyarakat di negara ini, tetapi telah menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam.
“Impak penyebaran filem itersebut amat besar kerana ia boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutama anak muda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegas Noraini, tayangan filem berdurasi 45 minit itu juga tidak boleh dinormalisasikan di negara ini.
Beliau turut menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem kontroversi Mentega Terbang itu.
Beliau juga turut menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, memperhalusi dan menambahbaik garis panduan sedia ada serta bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undang supaya perkara ini tidak berulang pada masa akan datang.
(Poster filem Mentega Terbang)
“Dalam kita merancakkan industri kreatif di negara ini, perlu ada satu mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” katanya.
Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan telah menerima sebanyak lapan laporan polis dan satu kertas siasatan telah dibuka.
Dalam kenyataan ringkas Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) berkaitan filem itu kepada media, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman bawah Seksyen 298A KK, Seksyen 505 (b)KK dan Seksyen 233 AKMM 1998.
“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.
Filem terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu telah disiarkan di platform Viu, namun tayangannya ditarik balik pada 27 Februari lalu.
Filem Mentega Terbang diarahkan, Mohd Khairi Anwar Jailani juga selaku penulis skrip.