(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- "Tingkat kesejahteraan rakyat dan perkukuh ekonomi negara", antara harapan dalam Belanjawan 2024.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Diana Abdul Wahab berkata, belanjawan tahun depan perlu mengambil kira keseimbangan dua perkara tersebut, selain memastikan kedudukan fiskal yang stabil.
(Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya
Dr Diana Abdul Wahab)
"Jadinya, apa yang saya harapkan adalah apabila kita mempunyai satu peruntukan yang terbesar, kita harap ia dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Dalam masa sama kita perlu memastikan yang kedudukan fiskal kita adalah kukuh kerana kita dapat lihat hasil negara kita adalah tinggi, namun hasil negara adalah kurang daripada perbelanjaan yang menyebabkan defisit", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia.
Dr Diana juga berkata, dalam memperkukuh ekonomi negara, kerajaan juga perlu menumpu kepada beberapa aspek. Antaranya, mempertingkat kecekapan sistem percukaian.
Tumpuan juga perlu terarah kepada usaha mengurangkan ketirisan, bagi memastikan kedudukan fiskal tidak terjejas.