BANDAR RAYA MELAKA, 13 Oktober -Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini sedang dalam usaha menambah baik kandungan dalam aplikasi RTMKlik, selain akan turut memperkasa kandungan di platfrom media sosial milik RTM.
Inisiatif berkenaan bagi memudahkan penonton melayari program yang mereka gemar pada bila-bila masa.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, ia secara tidak langsung membawa RTM ke aras yang lebih positif menerusi penggunaan medium digital.
“ Ramai orang menonton RTM bukan sahaja di televisyen tetapi juga di platform-platform digital.
"Paling ramai, menonton di RTMKlik.
"Jadi kita akan menambah baik RTMKlik supaya dapat memenuhi selera mereka, tidak kira berita, sukan, hiburan, drama dan sebagainya", kata Suhaimi yang ditemui RTM di sini.
Tambah Suhaimi, RTM juga akan memperkasakan penggunaan medium media sosial bagi mempromosi program dan rancangan yang disediakan di RTM.
Dalam perkara berkaitan, Suhaimi turut menjelaskan terdapat beberapa perkara yang bakal difokuskan RTM bagi memastikan stesen berkenaan mendapat tempat dalam kalangan penonton dan pendegar di negara ini.
Jelas Suhaimi, penambahbaikan rancangan dan program di RTM sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.
"Ada tiga perkara yang kita tekankan.
"Pertamanya, kita relevan. Maksudnya kita sentiasa relevan.
"Kedua kita 'relatable' maksudnya penonton faham dan sesuai dengan kita. Ketiga, kita 'loveable', penonton sayang jenama kita", ujar Suhaimi lagi.
(FOTO RTM)