fb fb fb fb fb

Tindakan tegas terhadap pembayar cukai culas

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Tindakan penguatkuasaan dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap golongan maha kaya yang enggan membayar cukai adalah berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian tanpa mengira status pembayar cukai.

Tindakan tersebut termasuk menjejaki serta mengeledah kediaman dan pejabat pembayar cukai yang culas.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, ia selaras dengan Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Perbendaharaan bagi memastikan Akaun Belum Terima (ABT) diurus dengan berkesan melalui usaha pemungutan secara pentadbiran atau tindakan undang-undang.

Menerusi tindakan tegas tersebut, baki ABT LHDN berjaya dikurangkan kepada 6.476 bilion Ringgit setakat 31 Ogos lalu, hasil penerimaan bayaran dan pelbagai langkah penguatkuasaan.

"Bagi pembayar cukai yang culas membayar cukai pula tindakan diambil melalui tindakan penguatkuasaan guaman sivil melalui operasi guaman penfailan saman penghakiman dan pelaksanaan penghakiman. Selain itu, tindakan sekatan perjalanan juga diambil untuk menghalang pembayar cukai ke luar negara."

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Lim turut memaklumkan, setiap kementerian dan jabatan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kutipan tunggakan ABT dilaksanakan dengan teratur, termasuk dengan adanya garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan dalaman yang berkesan.

Tambahnya, kebanyakkan kes ABT yang melebihi enam tahun adalah berpunca daripada proses perundangan berpanjangan, termasuk penangguhan mahkamah, kes kebankrapan serta penggulungan syarikat, selain bayaran ansuran yang masih berjalan.

Mengenai keputusan hapus kira, Lim memaklumkan, ia melibatkan sejumlah 337.14 juta Ringgit tahun lepas yang dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan bawah Pekeliling Perbendaharaan dan garis panduan LHDN.

Hapus kira ini melibatkan kes kutipan tidak boleh dilaksanakan, antaranya pembayar cukai meninggal dunia, bankrap atau syarikat yang telah digulungkan.

EMMI NORALIZA ADNAN