KUALA LUMPUR 8 Oktober - Perubahan trend pembaca terutama dalam kalangan generasi muda menuntut pengamal media di negara ini mencari kaedah penyampaian maklumat yang lebih sesuai agar lebih dinamik dan interaktif tanpa menjejaskan integriti kewartawanan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ini terutama dalam landskap media yang semakin mencabar kini yang menyaksikan pelbagai kaedah penyampaian maklumat disediakan, jauh berbeza daripada kaedah konvensional yang bergantung kepada surat khabar semata-mata.
“Kita kini berdepan cabaran besar dalam dunia media yang semakin dinamik. Ini dengan kepelbagaian platform digital dan perubahan cara khalayak menerima maklumat, kitaran berita tradisional tidak lagi relevan. Masyarakat kini menuntut maklumat disampaikan segera, terus ke hujung jari mereka,” katanya.
Terdahulu, Datuk Fahmi menyerahkan surat pelantikan anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tempoh 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2027.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama yang baharu, manakala Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola.
Dalam majlis yang diadakan di Wisma Bernama di sini, empat lagi anggota Majlis Penyeliaan dan 20 anggota Lembaga Pengelola Bernama turut menerima surat pelantikan masing-masing.
Pelantikan mereka telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Majlis Penyeliaan itu berperanan memastikan agensi berita berkenaan sentiasa mematuhi peruntukan Akta BERNAMA 1967 dalam melaksanakan objektif dan peranannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fahmi turut berharap Majlis Media Malaysia (MMM) akan mengadakan mesyuarat tahunan pada 7 November ini.
Usaha itu disifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh daya saing dan etika kewartawanan negara.
“Saya harapkan Majlis Media Malaysia akan dapat bergerak dengan cergas dan berdaya saing dalam menguruskan aspek etika kewartawanan secara kendiri,” ujar beliau.