fb fb fb fb fb

KPM perkukuh sistem keselamatan sekolah, gubal akta antibuli

Gambar hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober– Usaha membanteras gejala buli di sekolah akan diperkukuh dengan memperketat pemantauan terhadap pengurusan asrama.

Ini termasuk melaksanakan lawatan mengejut atau spot check pada waktu malam oleh pengurusan tertinggi dan pengarah pendidikan negeri bagi menilai tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi terhadap kes buli.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif termasuk cadangan menggubal Akta Anti-Buli menggunakan sistem tribunal akan dilaksana.

“Seperti yang saya sebut tadi kita menegaskan pendekatan tiada kompromi terhadap buli (dan program-program intervensi seperti program bangkit pembawara dan sebagainya tetap akan diteruskan, dan pada masa yang sama RM3 juta pada tahun 2025 juga telah diperuntuk JPM bagi pemasangan CCTV di 200 buah Asrama bermula dan projek pemasangan akan bermula pada 13 Oktober 2025 apabila proses peolehan telahpun selesai.

"Pada masa yang sama kita melakukan mesyuarat perwafakatan KPM bersama PDRM kita memberi latihan dan kefahaman kepada pimpinan sekolah dan terkini, Datuk Yang Dipertua bekerjasama dengan Hal Ehwal Undang-Undang KPM bagi pelaksanaan sessi Town Hall anti-buli, hashtag generasi tanpa buli yang melibatkan ke semua negeri ,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali mengenai langkah konkrit KPM dalam menangani kes buli di sekolah.

Tambah beliau, inisiatif itu antara langkah baharu selepas penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JKRKIP) serta audit keselamatan di 735 sekolah seluruh negara sejak Ogos lepas.

KPM turut memperkenal Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang menekankan keseimbangan intelektual, sahsiah dan spiritual, dengan elemen pembentukan karakter dimasukkan dalam kurikulum 2027 bagi melatih pelajar mengurus emosi dan membina empati.

SITI NOORAIN ABDULLAH