
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Tindakan awal bagi menangani kes tunggakan nafkah melibatkan bekas isteri dan anak-anak boleh dimulakan dalam tempoh sebulan selepas permohonan dikemukakan.
- Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah melaksanakan penguatkuasaan selepas pendaftaran permohonan.
- Pegawai BSK jalankan siasatan dalam tempoh 60 hari untuk menilai kelayakan penerima dan mengumpul maklumat kes.
- Permohonan dibawa ke Jawatankuasa Akaun Amanah untuk kelulusan, biasanya mengambil masa sekitar 14 hari.
- Selepas kelulusan, kes dirujuk ke Mahkamah Syariah, dan kejayaan bergantung kepada kerjasama serta kehadiran pihak terlibat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Marhamah Rosli, berkata proses penguatkuasaan itu dilaksanakan menerusi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebaik sahaja permohonan didaftarkan.
Menurut beliau, selepas permohonan diterima, pegawai BSK akan menjalankan siasatan dalam tempoh 60 hari bagi menilai kelayakan penerima serta mendapatkan maklumat berkaitan kes.
“Selepas itu, permohonan akan dibawa kepada Jawatankuasa Akaun Amanah untuk proses kelulusan yang lazimnya mengambil masa sekitar 14 hari,” katanya di Dewan Negara.
Tambahnya, selepas kelulusan diberikan, kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Syariah bagi proses perundangan dan penguatkuasaan terhadap pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab nafkah.
Bagaimanapun, jelas beliau, tempoh pelaksanaan juga bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk kehadiran pihak terlibat ketika prosiding mahkamah berlangsung.
Menurutnya, terdapat keadaan di mana kes terpaksa disebut semula apabila pihak tertentu tidak hadir ke mahkamah, sekali gus melambatkan proses penyelesaian.
Sehubungan itu, Marhamah menegaskan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kebajikan ibu tunggal dan anak-anak yang terkesan akibat kegagalan membayar nafkah dapat dilindungi dengan lebih berkesan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng mengenai kepantasan tindakan penguatkuasaan terhadap bekas suami yang gagal membayar nafkah.