KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Timor-Leste hari ini secara rasmi menyerahkan instrumen penyertaan rasmi dalam Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Sekaligus, mengesahkan penyertaannya sebagai anggota ke-11 blok serantau itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan langkah bersejarah itu sebagai manifestasi keberanian, ketabahan dan harapan tinggi rakyat Timor-Leste, selain memperkukuh perpaduan dan solidariti rantau Asia Tenggara.
"Timor-Leste membawa tenaga baharu, perspektif segar serta generasi rakyat yang bersedia untuk menyumbang. Kehadiran negara itu akan memperkaya identiti kolektif ASEAN, bukan sahaja dari segi demografi, tetapi juga dalam aspek politik, budaya dan ekonomi."
"Kekuatan ASEAN sentiasa terletak pada kepelbagaian yang dimilikinya serta keupayaan untuk menjadikan kepelbagaian itu sebagai matlamat bersama. Saya yakin, penyertaan penuh Timor-Leste akan memperkukuh lagi komitmen dan kesepaduan serantau yang menjadi teras kepada komuniti ASEAN," tambah beliau.
Datuk Seri Mohamad berkata demikian pada majlis penyerahan instrumen penyertaan itu di sini, hari ini.
“Dengan menyertai piagam itu, Timor-Leste berikrar untuk berjalan seiring, menyemai aspirasi rakyatnya dalam semangat komuniti ASEAN yang terus berkembang.
“Menerusi Perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste turut bersama-sama kita menzahirkan komitmen murni untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai kawasan aman, bebas daripada ancaman senjata nuklear,” katanya.
Beliau menjelaskan penyertaan itu bukan sekadar formaliti institusi tetapi mencerminkan keyakinan Timor-Leste terhadap idealisme ASEAN serta yakin terhadap masa depan bersama berteraskan keharmonian, kerjasama dan saling menghormati.
Selain menegaskan bahawa penyertaan penuh Timor-Leste bakal membawa tenaga baharu dan perspektif segar kepada ASEAN, bukan sahaja dari segi politik dan ekonomi, malah dalam aspek budaya dan sosial.
Jelasnya, kekuatan sebenar ASEAN sentiasa terletak pada kepelbagaian seterusnya menukarnya menjadi matlamat bersama, dan kehadiran Timor-Leste akan terus memperkukuh identiti kolektif rantau ini.