BALIK PULAU, 25 Oktober - Runtuhan baharu yang dikesan berlaku di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang, memaksa penutupan laluan itu dilanjutkan hingga dimaklumkan kelak.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, terdapat enam runtuhan cerun baharu berlaku sejak awal pagi sehingga 12 tengah hari tadi.
Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan sejak semalam telah dihentikan buat sementara waktu susulan hujan lebat yang berterusan.
Tambah beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah digerakkan segera bagi melakukan siasatan lanjut.
Jumaat lepas, sebahagian laluan di jalan tersebut ditutup sementara selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan Anjung Indah, kira-kira pukul 5 petang.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Semalam, Zairil Khir juga mengesahkan lokasi kejadian masih tidak selamat apabila pergerakan tanah dikesan berlaku.