fb fb fb fb fb

Penguasaan Bahasa Melayu perlu diutamakan dahulu

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy ditemui pada sidang media selepas merasmikan Karnival Lestari Bahasa 2025 bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Kota Bharu, Kelantan/RTM

KOTA BHARU, 25 Oktober - Penguasaan Bahasa Melayu perlu diperkukuh sebagai asas utama sebelum menguasai bahasa asing lain dalam era globalisasi masa kini.
 
Menurut Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy, usaha memperkasa bahasa kebangsaan tidak bermaksud menolak kepentingan bahasa asing, sebaliknya memastikan generasi muda memiliki asas bahasa Melayu yang kukuh sebagai identiti dan teras jati diri bangsa.
 
“Kita kena kukuhkan Bahasa Melayu dalam masa sama kena belajar bahasa asing sebab kita nak menyerap ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Contohnya dalam bidang pekerjaan boleh galakkan pelajar-pelajar sekolah untuk mengambil Bahasa Mandarin tapi dalam masa sama Bahasa Melayu itu asas, kita tidak boleh tinggalkan macam mana pun.” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Lestari Bahasa 2025 bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Kota Bharu, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fadhlil berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan DBP termasuk penyediaan panduan dan dokumentasi bahasa seperti Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan.

Selain merakam dan mendokumentasikan loghat tempatan sebagai sebahagian daripada kekayaan Bahasa Melayu.
 
Menjawab mengenai isu bahasa rojak, beliau berkata pihaknya tidak mempunyai peranan untuk mengawal penggunaan bahasa secara perundangan, namun pendekatan diambil melalui galakan dan penghayatan.

Ini termasuk memperkenalkan keindahan Bahasa Melayu menerusi pelbagai aktiviti dan program masyarakat.
 
Selain itu pempengaruh media sosial turut dimanfaatkan untuk menarik minat generasi muda yang kini lebih terdedah kepada platform digital.
 
 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ