fb fb fb fb fb

Timbalan Menteri komited jayakan agenda bela kepentingan rakyat

(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim)

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Seramai 27 Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan selesai mengangkat sumpah jawatan dihadapan Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis tersebut.

Dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, hadir bersama isteri masing-masing.

Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Senarai Timbalan Menteri kerajaan Perpaduan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

(Antara barisan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah/BERNAMA) 

Sementara itu, beberapa Timbalan Menteri yang ditemui RTM selepas istiadat tersebut menyuarakan komitmen penuh untuk menjayakan setiap agenda memperjuang kepentingan rakyat yang ditetapkan kerajaan Perpaduan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berharap peranannya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Komunikasi dan Digital dapat membantu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan memastikan media memainkan peranan penting dengan baik, pada masa yang sama bebas dari ancaman berita palsu.

"Media boleh memainkan satu peranan supaya memastikan memupuk perpaduan dan janganlah kita selalu hendak nampak selalu ada unsur-unsur fitnah benci kebencian dalam berita, ruang media kita.

Ini adalah satu tanggungjawab yang sangat penting, sangat berat", katanya.

Manakala, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata beliau teruja untuk bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan yakin bahawa kementerian tersebut dapat digerakkan bersama-sama untuk mencapai prestasi yang lebih baik.

"Kita bukan sahaja bercakap soal prestasi kementerian tetapi juga soal prestasi masyarakat belia dan sukan", katanya.

Timbalan Menteri Kewangan dan Datuk Seri Ahmad Maslan berazam untuk melakukan yang terbaik dan menggunakan pengalamannya di Kementerian Kewangan bagi meneruskan dasar-dasar kerajaan Perpaduan untuk kepentingan rakyat dan negara.

Media Baharu