fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan bot tidak miliki dokumen lesen sah

(FOTO MARITIM MALAYSIA)

PELABUHAN KLANG, 10 Disember - Sebuah bot nelayan tempatan ditahan di perairan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang semalam, ketika dalam perjalanan membawa makanan ikan dari Port Klang ke Pulau Ketam.

Ketika ditahan pada pukul 10.15 minit pagi, hasil pemeriksaan awal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor mendapati, bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 58 tahun dan seorang warga Indonesia (32), yang mempunyai pengenalan diri yang sah.

Bagaimana pun menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam, hasil siasatan lanjut terhadap dokumen menemukan, lesen bot telah tamat tempoh.


(Foto Maritim Malaysia)

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot tidak memiliki dokumen lesen yang sah.

Bot bersama kru dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Media Baharu