fb fb fb fb fb

TikTok akan adakan perbincangan dengan MCMC, KKD

(Foto Fahmi Fadzil)

SHAH ALAM, 12 Oktober- Pihak TikTok akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minggu depan.

Ia berhubung pelbagai isu berkaitan operasi platform media sosial itu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan hasil pertemuannya dengan pengurusan tertinggi plafform berkenaan semalam susulan pematuhan operasi aplikasi itu terhadap undang-undang Malaysia yang didapati masih tidak memuaskan dan perlu dibetulkan segera.

"Kita minta pihak TikTok untuk datang bertemu pihak kementerian dan pihak MCMC minggu hadapan. Mereka sedia adakan perbincangan, salah satu sebab kenapa beberapa perkara ini berlarutan antara lain mereka tidak mempunyai wakil dalam perhubungan kerajaan sejak lebih kurang tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu. Jadi ini juga telah kami sampaikan kepada pihak TikTok," kata Fahmi kepada media selepas Majlis Pelancaran 'Gudang Autonomi 5G Pertama Malaysia' di sini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata isu berkaitan 5G, kos sara hidup dan juga keselamatan makanan antara isu yang difokuskan menerusi Belanjawan 2024 esok.

Fahmi berkata beberapa pengumuman baik turut diumumkan menerusi belanjawan itu.

"Kita harap ada berita baik mengenai 5G. Pelaksanaan 5G yang kita usahakan setakat ini lebih bersifat pakej khas membantu lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan teknologi 5G. Tetapi saya percaya bagi sektor kerajaan dan kementerian lain terutamanya akan meneliti khususnya kos sara hidup, perkara yang hangat dibincangkan sekarang tentang rantaian bekalan bagi makanan, jaminan makanan, isu beras sebagai contoh dan saya juga difahamkan ada beberapa pengumuman," kata Fahmi.

Dalam pada itu, CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) bekerjasama dengan DHL Supply Chain Malaysia (DHL) mengendalikan gudang autonomi Kecerdasan Buatan (AI) dikuasakan 5G pertama di Malaysia.

Fahmi berkata kerjasama itu turut memberi manfaat berhubung teknologi 5G dan penyelesaian AI untuk sistem pengurusan inventori robotik kearah memacu pertumbuhan ekosistem digital negara.

Gudang itu dilengkapi dengan AI dan penyelesaian robotik terkini untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap, disokong oleh rangkaian 4G LTE CelcomDigi dan kesambungan 5G di Pusat Logistik Bersepadu DHL.


(Foto Fahmi Fadzil)

Media Baharu