fb fb fb fb fb

Tiga warga Bangladesh ditahan tanam pokok ganja

PASIR MAS, 7 Julai- Tiga lelaki warga Bangladesh ditahan selepas dipercayai terlibat kegiatan menanam pokok ganja di luar rumah kongsi mereka di ladang sayur-sayuran di Lojing, Gua Musang, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dilakukan pada pukul 10.27 pagi ketika ketiga-tiga suspek yang berusia antara 23 dan 34 tahun itu berada di dalam rumah.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu lipatan akhbar yang mengandungi tumbuhan kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 5.3 gram.

Pemeriksaan lanjut di kawasan luar rumah telah membawa kepada penemuan satu pokok ganja yang ditanam di dalam polibeg berwarna putih," katanya selepas Majlis Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022, Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di sini.

(Datuk Muhamad Zaki Harun, Pemangku Ketua Polis Kelantan)

Datuk Muhamad Zaki berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 24 dan 34 tahun mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Anggaran keseluruhan rampasan termasuk ganja kering dan pokok ganja itu dianggarkan hampir RM300.

Jelas beliau, kesemua suspek yang ditahan mempunyai permit sah untuk bekerja di ladang sayur-sayuran tersebut.

Mengulas lanjut, Datuk Muhamad Zaki berkata, dalam Ops Tapis khas yang bermula 2 Julai sehingga semalam, Polis Kelantan berjaya menahan 191 individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM77,000.

Media Baharu