fb fb fb fb fb

Tiga unit rumah kedai terbakar di Kuantan

Antara rumah kedai yang terlibat dalam kebakaran / BOMBA

KUANTAN, 10 September - Tiga unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Mahkota, terbakar malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.45 malam sebelum pasukan pertama dari Balai Bomba Kuantan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Seramai 46 anggota bersama 9 jentera termasuk sebuah Aerial Ladder Platform (ALP), 2 tangki air dan beberapa jentera penyelamat dikerahkan.

Ia turut dibantu pasukan Balai Bomba Taman Tas, Gebeng dan Indera Mahkota.

Tindakan pantas anggota bomba mengawal api daripada merebak ke premis berhampiran, manakala jentera ALP digunakan untuk pemadaman pada bahagian bumbung.

"Setakat pukul 12.32 tengah malam, kebakaran melibatkan 3 unit rumah kedai yang berkeluasan 20 x 120 kaki persegi setiap satu," katanya.

Tiada mangsa dilaporkan.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID