fb fb fb fb fb

Tiga tonggak utama dalam membangunkan Prasarana Digital, diperkasa oleh AI

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan ucaptama bertajuk "Building the Al-Enabled Digital Backbone" pada GSMA Mobile APAC 360 di Seoul/ BERNAMA

SEOUL, 1 Oktober- Tiga tonggak utama digariskan Malaysia dalam membangunkan Prasarana Digital yang diperkasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI).

Ia melibatkan pelaksanaan dasar yang berwawasan, membangunkan infrastruktur yang mampan serta memupuk kemahiran di semua lapisan masyarakat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kesemua tonggak antara lain bertujuan memanfaatkan jaringan komunikasi memacu kemajuan, menggalakkan inklusiviti dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

"Pertama sekali, pelaksanaan dasar yang berwawasan adalah penting. Dasar-dasar ini meletakkan asas bagi ekosistem yang dinamik, memastikan sambungan yang inklusif dan berdaya saing.

"Pelan JENDELA Malaysia menjadi contoh komitmen ini, dengan sasaran mencapai 100 peratus liputan internet di seluruh negara menjelang 2025. Inisiatif ini telah menghubungkan ribuan isi rumah kepada internet berkelajuan tinggi, mengubah kehidupan dan mencipta peluang perniagaan baharu", katanya.

Beliau berucap pada persidangan GSMA Mobile 360 APAC 2024 di Seoul, Korea.

Tambah Fahmi, menerusinya, Malaysia mampu menjadi sebuah negara berasaskan teknologi yang memanfaatkan ketersambungan, selain meningkatkan kehidupan, memajukan perniagaan dan melindungi alam sekitar.

GSMA adalah sebuah organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia dalam ekosistem mudah alih dan industri yang berkaitan.

ROSLINA BINTI DIN