fb fb fb fb fb

Tiga sekeluarga berdepan detik cemas kereta dipijak gajah

Kejadian berlaku di KM55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli lewat petang Ahad selepas kenderaan itu terlanggar seekor anak gajah

IPOH, 27 November - Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki dipijak sekumpulan gajah.

Kejadian berlaku di KM55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli lewat petang Ahad selepas kenderaan itu terlanggar seekor anak gajah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Jerteh, Terengganu.

"Tiba di lokasi kemalangan, pemandu ternampak sekumpulan enam ekor gajah berada di lorong menghala Jeli sebelum terlanggar seekor anak gajah.

"Akibat pelanggaran itu, kumpulan gajah terbabit menghampiri lalu memijak kereta hingga rosak teruk," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Zulkifli, kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, hadapan dan belakang manakala pemandu dan isterinya yang berusia 47 tahun dan anak mereka 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN