fb fb fb fb fb

Tiga projek mega di Perak, bakal pacu ekonomi negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/FB Anwar Ibrahim

IPOH, 25 Mac- Tiga projek mega di Perak bakal mengangkat negeri itu sebagai antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Tiga projek tersebut melibatkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian, Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut.

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kepada kesungguhan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan pasukannya merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Sebab itu saya ucap terima kasih kepada saudara Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perak yang mengemudi negeri ini, memusatkan perhatian mengangkat Perak sebagai negeri yang punyai potensi pertumbuhan ekonomi yang segar. 

"Mutakhir ini dengan kesungguhan saudara Saarani selaku Menteri Besar dan rakan-rakan beliau di Negeri Perak terutama dengan tiga program raksasa ini.

"Saya yakin, insya-Allah akan mengangkat Perak di antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara", katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Negeri Perak di Kolej Poly Tech MARA Meru, Ipoh.

Pada masa sama, usaha tersebut tidak akan membataskan program bersasar yang dirancang kerajaan termasuk menokhtahkan kemiskinan tegar.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata suara lantang yang dibawa Malaysia berkenaan isu kemanusiaan tidak menghalang pelabur untuk melabur di negara ini.

Ini dibuktikan menerusi pelbagai pelaburan luar yang masuk ke dalam negara hasil lawatan ke beberapa negara baru-baru ini.

"Kita juga bersyukur alhamdulillah kerana dalam beberapa pertemuan saya di luar negara di Australia, paling akhir di negara China, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat, paling akhir di Jerman nampak ada kesepakatan untuk jadikan Malaysia sebagai hab untuk pengeluaran mikrocip di rantau ini.

"Syarikat-syarikat terbesar Jerman termasuk Infineon yang akan melabur sebanyak 5 bilion Euro telah diputuskan dan mula digerakkan Siemen yang akan jadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan mereka dan X-FAB yang akan mengadakan projek di Sarawak.

"Jadi banyak kegiatan ini menumpukan, memusatkan kegiatan mereka di Malaysia. Ini sesuatu yang sangat membanggakan Malaysia", katanya.

Potensi ini berdasarkan kepada keupayaan negara dalam aspek penyediaan prasarana, politik stabil serta dasar ekonomi yang jelas.

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM291,000 kepada 34 buah masjid dan 35 surau dalam Parlimen Tambun. 

Beliau juga menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama tetamu yang hadir.

ROSLINA BINTI DIN