fb fb fb fb fb

Kerajaan sasar lahirkan ramai pakar dalam bidang teknikal - MOSTI

Menteri MOSTI, Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bercadang untuk mewujudkan lebih ramai pakar dalam bidang teknikal, yang memahami teknologi dengan lebih baik.

Langkah itu berikutan perkembangan pesat teknologi baharu seperti tenaga baharu dan kecerdasan buatan (AI) di peringkat global.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata ia kerana permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi akan meningkat saban tahun, selain sokongan terhadap kemasukan pelaburan asing berasaskan teknologi ke dalam negara.

"Apa yang kita dapat dari HRD Corp, hanya 28% pekerja yang berkemahiran tinggi, 60% berkemahiran sederhana dan 12% berkemahiran rendah."

"Maka, adalah perlu untuk tingkatkan peratusan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, seiring hasrat kita menjadi negara berteknologi tinggi, negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030," kata Chang kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China Universiti Merdeka Berhad (MUB) 2024 di ibu negara.

Pameran yang memasuki tahun ketiga itu menyediakan pelbagai saluran bagi pelajar melanjutkan pelajaran dan mendapatkan khidmat perundingan serta membantu negara dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang teknikal.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM