fb fb fb fb fb

Dua individu direman, terima rasuah untuk lindung aktiviti haram

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Seorang pegawai kanan dan seorang anggota polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur, ditahan reman selama tiga hari.

Perintah reman sehingga Selasa dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Farhana Mohd Najib ke atas suspek utama, manakala suspek kedua direman satu hari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Ahad.

Suspek utama berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram melibatkan perjudian, maksiat dan kumpulan gengsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta turut ditemui hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.

Suspek utama ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang merupakan anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di ibu negara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM