fb fb fb fb fb

Tiga produk kosmetik tempatan dikesan ada racun

PUTRAJAYA, 8 Januari - Tiga produk kosmetik jenama tempatan dikesan mengandungi kandungan racun berjadual oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga produk tersebut ialah NP Beauty FM Cream, NP Beauty FB Cream - 7g, dan As's Beauty Night Cream. Ketiga-tiga produk berkenan dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri.

"Kami ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik ini.

"Notifikasi produk-produk kosmetik ini telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

"Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf dan boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

"Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," kata Dr. Noor Hisham.

Tegas beliau, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

"Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya".

Dr. Noor Hisham menasihatkan agar orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.






Media Baharu