fb fb fb fb fb

Tiga PPS dibuka susulan banjir di Selangor dan Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 17 Mei- Beberapa kawasan sekitar Selangor dan Negeri Sembilan ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan.

Di Selangor, bencana menjejaskan tiga kampung di kawasan Kuala Kubu Bharu, iaitu Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Kampung Estet Sg Dua.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini dibuka di Sekolah Rendah Agama (SRA) Syed Mashor Kerling.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan mengenai situasi itu pada pukul 3.45 petang.

"Bomba telah menerima panggilan pada pukul 3.45 dan telah tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.08 minit petang. Apabila sampai kita dapati bahawa ketiga-tiga buah kampung ini telah dinaiki air sehingga ke paras pinggang dan kita telah melaksanakan kerja menyelamat enam orang mangsa," kata Norazam kepada RTM.


(Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis)

Bomba melancarkan operasi menyelamat dan membantu memindahkan enam penduduk yang terperangkap terdiri daripada seorang lelaki dan lima wanita.

Operasi ditamatkan kira-kira pukul 11.15 minit malam tadi.

Setakat ini, hanya dua keluarga yang mendaftar di PPS manakala penduduk terjejas lain memilih untuk tinggal di rumah saudara-mara.

Berdasarkan Info bencana JKM, di Negeri Sembilan, 103 penduduk terjejas kini ditempatkan di dua PPS di Kuala Pilah.

Ia melibatkan 36 penduduk di SK Undang Johol manakala di Dewan Orang Ramai Dangi pula menempatkan 67 penduduk.

Media Baharu