fb fb fb fb fb

Tiga perkara utama istilahkan Ahli Parlimen lompat parti

(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Katanya, apabila seorang Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan sudah melompat parti.

(Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menjawab soalan
Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara)

"Kedua, seorang Ahli Parlimen sudah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

"Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara.

Tambah Wan Junaidi, tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Media Baharu