SHAH ALAM, 30 Mac - Susulan penularan video di media sosial membabitkan tindakan seorang pensyarah UiTM yang telah mengeluarkan komen sensitif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.
Malah UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM.
Dalam satu kenyataan, Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor menjelaskan UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.
"Kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti."
"Segala kemudahan pembiayaan melalui dana-dana tertentu disediakan oleh UiTM dan turut memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian," kata beliau dalam kenyataan tersebut, hari ini.
(Rakaman video yang tular di media sosial membabitkan seorang pensyarah UiTM)
Sehubungan itu, Roziah menyeru kepada para pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.
Menurutnya lagi, dalam merealisasikan keberkesanan bagi pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu dari semua aspek.