JOHOR BAHRU, 30 Mac - Polis Johor akan menggerakan lebih 1,600 pegawai dan anggota di 41 kawasan tumpuan pelancong pada minggu pertama pembukaan sempadan negara, Jumaat ini.
Penugasan melibatkan kawasan-kawasan yang sering berlaku kesesakan lalu lintas, selain pusat beli belah, pusat pengurup wang, stesen bas, pasar, hentian rehat dan rawat serta pusat rekreasi.
(Gambar fail)
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seramai kira-kira 200 anggota dan pegawai, dibantu 113 anggota Polis Bantuan, ditugaskan di Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru.
Manakala lebih 60 anggota dan pegawai terdiri daripada tujuh pasukan, ditugaskan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah dan kawasan sekitar.
"Saya rasa insya-Allah perjalanan proses pembukaan sempadan kita antara kita dengan Singapura. Mungkin ada kesesakan, tapi kesesakan di tambak kesesakan yang terkawal, kita kawal dari segi keselesaan dan sebagainya," kata Kamarul Zaman selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Dewan Dato Onn, IPK Johor, di sini.
Penugasan tersebut diharap dapat menjaga keselamatan rakyat dan pelancong, daripada kegiatan jenayah seperti ragut dan penyeluk saku, selain menegakkan undang-undang lalu lintas, terutamanya kesalahan memotong barisan.