fb fb fb fb fb

Malaysia-Indonesia akan tandatangani MoU PDI Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Malaysia dan Indonesia bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung penggajian dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada hari Jumaat ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata MoU tersebut akan ditandatangani beliau bersama rakan sejawat Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada majlis yang diadakan di Jakarta, Indonesia.

Majlis tersebut juga akan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Ia mencerminkan komitmen dan kesepakatan kedua-dua negara dalam melaksanakan MoU ini kelak.

“MoU PDI ini akan merintis kepada kemasukan pekerja warga asing dari Indonesia ke sektor yang dibenar penggajian Tenaga Kerja Indonesia,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


(Gambar fail)

MoU PDI ditandatangani kali pertama pada 2006 dan tamat tempoh pada 2011 sebelum diperbaharui sehingga 2016.

Namun selepas tempoh tersebut, MoU PDI tersebut tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara.

Saravanan berkata sehingga Februari lepas, jumlah pekerja warga Indonesia yang berada dalam negara adalah seramai 352,469 orang dengan 98,421 individu terlibat dalam sektor perladangan diikuti perkilangan (67,217), pembinaan (65,660), pekhidmat domestik (58,438), pertanian (43,953) dan perkhidmatan (18,779).

Media Baharu