SERIAN, 12 Oktober - Tiga penghuni sebuah rumah dua tingkat di Lorong 4, Kampung Lalang Gedong, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.09 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan digerakkan ke lokasi bersama bantuan BBP Serian.
“Pasukan pertama tiba di lokasi kira-kira pukul 2.35 petang, iaitu 23 kilometer dari balai, dan mendapati api sedang marak memusnahkan hampir keseluruhan struktur rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada pukul 2.45 petang dan tiada mangsa dilaporkan cedera.
“Tiga penghuni rumah, termasuk seorang wanita, sempat menyelamatkan diri,” katanya sambil menambah bahawa punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.