fb fb fb fb fb

Naik taraf Lebuhraya Senai–Desaru dapat reaksi positif pengguna

Lebuhraya Senai–Desaru (SDE)/RTM

JOHOR BAHRU, 12 Oktober – Inisiatif menaik taraf infrastruktur dan pembinaan jalan di Johor menerusi Belanjawan 2026, khususnya kerja naik taraf Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) Fasa 2A, mendapat sambutan positif daripada penduduk dan pengguna lebuh raya itu.

Tinjauan mendapati, rata-rata pengguna menyambut baik langkah berkenaan kerana percaya ia dapat meningkatkan keselamatan, melancarkan perjalanan serta memberi keselesaan ketika menggunakan laluan tersebut.

Selain itu, usaha tersebut dilihat seiring dengan peningkatan populasi dan pembangunan pesat di negeri Johor.

Pengurus Penjagaan Kualiti, Mohd Faisal Hassan berkata inisiatif itu akan membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

“Saya bekerja jarak jauh setiap hari hampir 100 kilometer. Jadi, bila jalan dinaik taraf, ia satu langkah positif. Saya bersyukur sebab ia boleh kurangkan kemalangan dan lancarkan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Abdullah, yang bekerja sendiri, menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai keputusan tepat memandangkan jalan rosak menjadi punca kemalangan di laluan berkenaan.

“Ini satu keputusan baik. Kita tahu banyak kemalangan berpunca daripada jalan berlubang atau rosak, termasuk di Senai–Desaru. Jadi kalau dah dibaiki, manfaatnya untuk semua,” ujarnya.

Bagi Pegawai FELDA, Abdullah Sani Johor,pelebaran jalan di lebuh raya tersebut amat wajar bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat.

“Jalan di Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) agak sempit, jadi lebih baik kalau diperluas dua lorong. Bab tol pun rakyat Johor tiada masalah, asalkan jalan yang dinaik taraf itu benar-benar selamat dan berkualiti,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 11.5 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya SDE, dengan purata 31,000 pengguna setiap hari.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI