KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Usaha pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penularan ajaran sesat di negara ini terus diperkukuh melalui kerjasama pelbagai agensi serta penglibatan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pendekatan bersepadu itu penting bagi membendung penyebaran fahaman songsang serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Peranan kerajaan bersama masyarakat sivil termasuk badan bukan kerajaan dan institusi berkaitan amat penting untuk bekerjasama secara bersepadu bagi menangani isu ini.
"Matlamat kita adalah untuk memastikan Malaysia terus menjadi model negara Islam yang sederhana, maju, aman, serta meraikan kepelbagaian dan perbezaan dalam bingkai kesatuan,” katanya.
Menurut beliau, media sosial kini menjadi cabaran baharu kerana memudahkan penyebaran fahaman songsang.
Bagaimanapun, kerajaan melaksanakan program pencerahan secara berterusan termasuk melalui peranan Jabatan Mufti bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ciri-ciri ajaran sesat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Misi Bantuan Pascabencana Skuad Ihsan MADANI (Hal Ehwal Agama) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan sebanyak 14 ajaran sesat dikenal pasti masih aktif di negara ini dan dipantau rapi oleh Polis Diraja Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas dan kelengkapan persekolahan kepada penduduk terjejas banjir di Kuala Terengganu.
Setakat ini, seramai 540 pelajar dan 772 keluarga di Terengganu menerima manfaat melalui Program Misi Bantuan Pascabencana Skuad Ihsan MADANI (Hal Ehwal Agama) hasil kerjasama pelbagai agensi.
