
KUALA LUMPUR, 8 Februari – Sektor perbankan memainkan peranan penting sebagai pemangkin kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi negara.
- Perbankan bertindak sebagai penstabil sistem kewangan dan pemudah cara pelaburan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
- Pendigitalan dan kecerdasan buatan perlu diperluas untuk meningkatkan akses kewangan dan daya saing negara.
- Kawalan risiko kukuh, keselamatan siber dan perlindungan data penting dalam menyokong transformasi perbankan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi perbankan bukan sahaja penyedia pembiayaan, malah bertindak sebagai penstabil sistem kewangan, pemudah cara pelaburan serta tonggak keyakinan pasaran.
Sejajar dengan itu, kerajaan melihat pendigitalan dan kecerdasan buatan sebagai pemangkin untuk memperluas akses kewangan dan mengukuhkan daya saing nasional.
“Persekitaran pasaran masa kini menuntut kelajuan, kecekapan dan keupayaan untuk berkembang. Kerajaan MADANI melihat pendigitalan dan kecerdasan buatan sebagai alat untuk meningkatkan produktiviti, memperluas akses kewangan serta mengukuhkan daya saing negara.
“Usaha ini perlu disokong oleh kawalan risiko yang kukuh, perlindungan keselamatan siber serta perlindungan data yang mantap,” katanya.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Majlis Gala Ulang Tahun Ke-50 AFFIN di ibu negara.
Peranan kumpulan seperti Affin Bank Berhad sebagai perantara kewangan penting dalam memastikan aliran kredit berterusan kepada ekonomi sebenar, di samping menyokong kestabilan sistem melalui pengurusan risiko yang kukuh dan tadbir urus berdisiplin.
Transformasi juga dilihat tidak terhad kepada teknologi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan kefahaman dan keyakinan rakyat dalam mengurus kewangan mereka.