KUALA LUMPUR, 3 Januari - Pengamal perubatan yang telah mengemukakan permohonan, membuat bayaran serta mematuhi syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025, dibenarkan untuk terus mengamal tanpa tindakan sehingga sijil PAT 2026 dikeluarkan.
Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan memaklumkan kertas edaran bertarikh hari ini (3 Januari) telah dikeluarkan berhubung perkara itu setelah mengambil kira jumlah permohonan tinggi yang masih diproses pada masa ini.
"Kebenaran ini tertakluk kepada syarat pengamal perubatan berkenaan tidak dikenakan sebarang sekatan, penggantungan atau larangan amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971.
"Bagi permohonan lengkap yang mematuhi semua syarat, tarikh kuat kuasa PAT adalah bermula 1 Januari 2026 atau mengikut tarikh perlindungan indemniti profesional, dan tidak bergantung kepada tarikh kelulusan atau tarikh sijil dikeluarkan," menurut kenyataan itu.
MPM turut memohon maaf atas kelewatan pemprosesan dan pengeluaran Perakuan Amalan Tahunan (PAT) 2026 susulan peningkatan mendadak jumlah permohonan yang diterima pada penghujung tahun lalu.
Kelewatan itu melibatkan permohonan yang dikemukakan dengan dokumen sokongan yang diterima lewat, sekali gus menyebabkan sebahagian permohonan masih dalam proses melalui sistem MeRITS.
MPM menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengamal perubatan dan memberi jaminan langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam.
