fb fb fb fb fb

Lelaki cedera, kereta rempuh bas di Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu

Foto fail/RTM

SETIU, 3 Januari -Seorang lelaki patah tangan dan kaki selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, bas berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

Manakala kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang datang dari arah Kota Bharu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan bas tersebut.

"Akibat rempuhan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan serius manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan," menurut Superintenden Mohd Zain menerusi satu kenyataan.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

TETITIA YUSOFF