fb fb fb fb fb

PIBKS Kebangsaan sokong cadangan penyelarasan pemakaian seragam sekolah

FOTO BERNAMA

CHANGLUN, 3 Januari - Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya cadangan untuk menyelaraskan pemakaian pakaian seragam sekolah dilaksanakan.

Timbalan Pengerusi PIBKS Kebangsaan, Zainol Abidin Mohamad berkata cadangan itu selari dengan prinsip asas pendidikan iaitu kesaksamaan, kesederhanaan dan fokus kepada pembelajaran, bukan perbezaan penampilan.

"Pendekatan itu dilihat mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan B40 dan M40, dan mengelakkan unsur persaingan tidak sihat dalam kalangan murid

"Malah, ianya dapat mengembalikan fungsi sekolah sebagai medan pembinaan sahsiah, ilmu dan nilai, bukan pameran gaya.

"Namun, pihaknya berpandangan bahawa pelaksanaannya mesti dibuat secara berperingkat, inklusif dan berunding, dengan mengambil kira pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), keperluan murid mengikut iklim, keselesaan dan kesihatan dan realiti sosioekonomi setempat," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan semalam berkata cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah masih di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan, sekali gus mengesahkan tiada perubahan terhadap pakaian seragam murid bagi sesi persekolahan 2026.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM