fb fb fb fb fb

Perkasa kerjasama serantau, jadikan ASEAN lebih progresif, berdaya saing

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia, Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah / Foto RTM

PETALING JAYA, 12 Oktober - Jaringan kerjasama ekonomi serantau akan terus diperkasa ke arah menjadikan blok ASEAN lebih progresif dan berdaya saing.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berpandangan Malaysia selaku pengerusi ASEAN mampu memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Jelasnya, penganjuran Forum Pembangunan Komuniti Perniagaan ASEAN (ABCD) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Ogos lepas menjadi sebahagian daripada inisiatif penting menggerakkan usaha mengintegrasi ekonomi serantau.

"Justeru, penganjuran Forum ABCD adalah platform yang tepat untuk membawa satu resolusi selepas kami mengadakan perbincangan selama dua bulan dengan semua negara secara dalam talian," ujar beliau.

"Resolusi yang dicapai itu dijangka akan dibentangkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn di Jakarta supaya setiap anggota ASEAN boleh membuat polisi-polisi berteraskan kepada penemuan dan kehendak industri-industri di semua negara blok berkenaan," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual eksklusif bersama RTM di Petaling Jaya, Selangor.

Datuk Seri Dr Abdul Malik optimis penganjuran Forum ABCD ini tidak hanya memperkukuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi memberi peluang kepada usahawan kecil untuk berkembang menerusi program padanan perniagaan.

Beliau memaklumkan forum tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih 500 peserta dari negara anggota ASEAN dengan penganjuran seterusnya dijangka akan diadakan pada Jun tahun hadapan.

Sehubungan itu, beliau mennggalakkan penyertaan semua lapisan komuniti perniagaan tanpa mengira bangsa, saiz perniagaan atau lokasi.

Datuk Seri Dr Abdul Malik berpandangan ada keperluan untuk semua syarikat-syarikat di rantau ASEAN ini untuk bekerjasama dan mencari jalan terbaik serta memudahkan urusan perniagaan di antara satu sama lain. ###

EMMI NORALIZA ADNAN